“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” - Terjemahan (Al-Hujuraat 49:13)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” - Terjemahan (Ar-Ruum 30:21)
Tujuan penulisan ini hanya kerana ada beberapa orang yang bertanya secara berturutan mengenai bagaimana seseorang lelaki yang meminati wanita yang tidak diketahui nama, rumahnya, keluarganya atau rakan-rakannya dan seumpamanya untuk berkenalan dengan wanita yang ia cenderung kepadanya.
Tiada cara lain bagi lelaki tersebut kecuali bertanya, untuk tujuan berkenalan dalam ikhtiar mencari jodoh; lagi pula kerana rasa atau kecenderungan hatinya terhadap wanita tersebut.
Mengapa Perlu Mengurat Patuh Syariah?
1. Cinta adalah nikmat kurniaan Allah kepada makhluk-Nya. Cinta adalah fitrah manusia. Tetapi, sejauh mana menzahirkan rasa cinta dan kecenderungan itu tanpa menyalahi syariat.
2. Situasi dan keadaan yang berbeza (perkembangan komunikasi dan teknologi komunikasi yang pesat) hingga terpaksa membicarakan mengenainya kerana melibatkan sosial kemasyarakatan.
3. Memberi pendedahan kepada mereka mengenai peraturan-peraturan dan adab-adab proses berkenalan sebelum menuju ke alam percintaan (pertunangan) dan alam perkahwinan; yang sememangnya tidak pernah ada pendedahan dan pembicaraan mengenainya (setahu saya kecuali di kedai kopi atau di rumah bujang). [1]
Adab Merisik Dan Bertunang Dalam Islam
a. Niat untuk melaksanakan sunnah (bernikah) atau berikhtiar mencari jodoh dan bukannya bertujuan menambah ‘koleksi kawan wanita’ atau berniat melakukan kemungkaran.
b. Kejujuran. Tidak boleh menipu latarbelakang (background) dengan tujuan mahu memikat wanita tersebut. Cinta itu tertegak di atas dasar keikhlasan dan kejujuran, jika tiada keduanya; cinta itu palsu. Cinta sejati (true love) itu cinta kerana Allah.
c. Tidak mengganggu kekasih orang, tunangan orang, apatah lagi isteri orang lain.
d. Apabila wanita mengatakan tidak mahu, maka tidak boleh memaksanya. Paksaan adalah gangguan.
e. Apabila wanita melarang si lelaki mengganggu (walaupun bukan niat lelaki itu untuk mengganggu), maka haram mengganggunya.
Diulangi : HARAM MENGGANGGU secara lisan apatah lagi gangguan perbuatan apabila wanita itu menolak dan melarang untuk diganggu.
Jika masih diganggu, sila gunakan pihak ketiga; samada keluarga atau pihak Polis. Ambil tindakan undang-undang terhadap mereka dengan bukti yang ada.
f. Apabila sudah berjanji mengahwininya, maka haram memungkiri janji kerana itu sifat orang munafik.[2]
g. Apabila cinta sudah berputik keduanya, perlu menjaga pertuturan. TIDAK BOLEH menggunakan suara lunak apatah lagi panggilan lunak yang menjadi kebiasaan suami isteri seperti panggilan ‘abang’, ‘honey’, ‘sayang’, ‘muahhh’, ‘xoxo (tanda memeluk pasangan zaman siber)’ dan seumpamanya yang mendatangkan ghairah; atau punca menghampiri zina walaupun tanpa niat mahu berzina.
Tetapi sekadar ‘emoticon’ tanda senyum atau menggambarkan intonasi perbualan dalam mesej, itu tidak mengapa kerana komunikasi FB, WhatsApp (dan seumpamanya) tiada intonasi di dalamnya. Boleh jadi takut salah faham dan dengan penggunaan ‘emoticon’ menjadikan perbualan itu lebih efektif.
h. Apabila janji cinta sudah dimeterai, lelaki dan keluarganya boleh berkunjung ke rumah wanita sebagai risikan bagi wanita yang berniqab (lelaki boleh menyuruh wanita melepaskan niqabnya untuk melihat wajah wanita tersebut. Jika berkenan, terus bertunang).
h. Apabila janji cinta sudah dimeterai, lelaki dan keluarganya boleh berkunjung ke rumah wanita sebagai risikan bagi wanita yang berniqab (lelaki boleh menyuruh wanita melepaskan niqabnya untuk melihat wajah wanita tersebut. Jika berkenan, terus bertunang).
Namun perkara ‘g’ tetap TIDAK BOLEH DILAKUKAN dalam alam pertunangan.
Sekali lagi diulang, cinta itu kurniaan dan nikmat Allah kepada manusia. Apabila kita menyalahgunakan nikmat yang diberikan Allah, maka tidak akan berjaya sesebuah pekerjaan.
Penting : Dalam hal sebelum pertunangan ini, lelaki dan wanita mesti jujur. Tidak boleh menyembunyikan kekurangan fizikal untuk menipu pasangan, contohnya seperti kaki kecil sebelah, penyakit hati, barah, gigi palsu, rambut palsu dan seumpamanya. Tidak boleh menyembunyikannya daripada pasangan.
Tidak boleh juga mengabaikan perkara paling utama dalam kehidupan, bahkan tidak sempurna imannya jika berlebihan mencintai sesuatu atau orang lain berbanding kecintaannya terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Tidak boleh juga mengabaikan perkara paling utama dalam kehidupan, bahkan tidak sempurna imannya jika berlebihan mencintai sesuatu atau orang lain berbanding kecintaannya terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Punca berlakunya anak lari dari rumah mengikut pasangan, penzinaan, buang anak dan seumpamanya berpunca dari lemahnya tauhid (jahil akidah). Jika mereka mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada mencintai dirinya dan kedua ibu-bapanya, hal-hal seperti ini tidak akan terjadi atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.
[1]. Terdapat juga dalam buku-buku lain, tetapi pendedahan secara tidak langsung mengenainya, contohnya dalam tulisan Dr Abdullah Naseh Ulwan (seorang Ahlul Bayt, m. 1987); Tanggungjawab Pendidikan Seks Menurut Islam.
[2]. Bukanlah haram secara mutlak. Dalam soal berjanji dalam percintaan ada beberapa hal yang boleh dimungkiri kerana hakikat cinta itu hanya kepada Allah, kemudian Rasul-Nya. Berlebihan mencintai selain daripada Allah dan Rasul-Nya boleh jatuh ke dalam kesyirikan. Contohnya, apabila pasangan mengingkari kewajipan solat maka perlu diputuskan terus ikatan janji. Bahkan ikatan perkahwinan juga terlerai kerana itu.
kredit: ceritaadunia
kredit: ceritaadunia