Selebriti popular, Rozita Che Wan menyifatkan Kelantan sebagai ‘lubuk rezekinya’ apabila jualan produk kesihatan dan kecantikan wanita diusahakannya mendapat sambutan menggalakkan penduduk negeri ini.
Malah, pelakon cantik berusia 43 tahun itu turut berhasrat mengembangkan perniagaannya termasuk menambah lebih banyak stokis bagi menampung permintaan tinggi pembeli.
Lebih dikenali sebagai Che Ta, ibu kepada tiga anak itu sudah memperkenalkan jus penjagaan dalaman wanita, rangkaian minyak wangi Precious dan Gorgeous yang semuanya di bawah label byRCW.
“Saya memang sibuk menguruskan perniagaan ketika ini dan berhasrat mengembangkannya lagi berikutan permintaan tinggi pelanggan terutama di negeri ini.
“Kita ada stokis di Kota Bharu dan sentiasa melakukan promosi kerana Kelantan mempunyai kuasa beli pengguna yang sangat bagus walaupun banyak saingan dengan produk lain.
“Pasaran di Kelantan sama naik dengan Kuala Lumpur. Memang bagus jualan produk saya di sini, selain Kedah dan johor,” katanya ketika ditemui di Seminar Beauty dan Biz di Kompleks Darulnaim, di sini, semalam.
Dalam seminar itu dihadiri kira-kira 700 peserta di seluruh negeri Kelantan dan mereka diberi taklimat mengenai Kesihatan dan Kecantikan; perniagaan dan juga pengurusan kewangan.
Che Ta berkata, dia seronok dapat bertemu peminat dan pelanggannya dalam seminar itu selain berkongsi mengenai tips kecantikan, kesihatan dan selok belok perniagaan.
Sambil mengakui sedang merancang memperkenalkan produk terbaru dalam masa terdekat ini, wanita itu turut dibantu suami Zain Saidin dan ahli keluarga untuk membangunkan perniagaan mereka.
Zain pula katanya, memperkenalkan jenama kasut sendiri iaitu ZapatoS by Zain Saidin untuk lelaki yang mementingkan gaya dan keselesaan.
“Sejak suami saya menceburi perniagaan kasut beberapa bulan lalu, dia begitu sibuk kerana mendapat sambutan yang amat baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, program Teh Tarik Che Ta yang kini sudah memasuki musim kedua terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah satu rancangan yang mengetengahkan nostalgia artis era 80an.
“Alhamdulillah, rancangan Teh Tarik Che Ta mendapat sambutan dan maklum balas yang baik daripada peminat dan kita akan teruskan untuk musim ketiga sebelum akhir tahun ini,”katanya ketika ditemui.